PETALING JAYA – Baru-baru ini sebuah karya mengetengahkan kehebatan pahlawan Melayu menjadi kegilaan orang ramai dan dapat dilihat gelagat para penonton di pawagam yang hadir lengkap berbusana tradisional Melayu sebagai tanda sokongan mereka terhadap filem epik tersebut.
Namun, dalam keterujaan itu, terdapat beberapa luahan pengguna lain kerana kurang selesa disebabkan pandangan mereka terhalang oleh tanjak yang dipakai sesetengah penonton ketika berada di dalam pawagam.
Seperti hantaran terbaharu di Facebook, Penang Kini, sebuah gambar dikongsikan seorang individu memaparkan beberapa barisan penonton yang berada di kerusi hadapannya telah menyukarkan pandangannya menonton wayang disebabkan terhalang dengan kedudukan tanjak mereka.
Pesannya, tidak menjadi kesalahan untuk menggayakan pakaian tradisi Melayu, tetapi perlu memahami situasi sekeliling agar tidak menyusahkan orang lain.
“Nak tengok wayang dengan memakai busana Melayu tak salah, bagus semangat macam itu, tapi dah duduk itu tanggal la sekejap tanjak atas kepala.
“Kesian orang belakang, tak nampak, dalam gelap itu tak ada siapa nampak pun tanjak awak itu cantik atau tidak,” tegur individu tebabit.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan orang ramai dan ada juga yang sempat berseloroh berhubung situasi tersebut.
“Jangan tegur-tegur sangart, takut dihulur kerisnya nanti,” seloroh Adib Razali.
“Seronok tengok semangat Melayu macam ini, sokong filem tempatan dengan gaya sekali, moga lebih banyak filem yang memberi kesedaran dan pengajaran buat masyarakat Melayu kita,” ujar Azlinda. – KOSMO! ONLINE