fbpx

Sesalan hati puncak bahagia Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHILA AMZAH

JIKA boleh diputarkan waktu untuk membuat keputusan yang berbeza, akui penyanyi Shila Amzah sudah lama dia memilih jalan damai bersama pihak media.

Namun, dalam episod saman menyaman antara Shila dan media sekitar lapan tahun lalu, penyanyi Khilaf Asmara itu mengibaratkan dirinya sebagai anak kecil yang menurut perintah, tidak memiliki keberanian serta kuasa mutlak memutuskan kata pendirian seperti kini.

“Sebenarnya perasaan untuk berdamai dan menyelesaikan kemelut antara saya dengan pihak media sudah lama timbul. Cuma waktu itu saya tidak ada keberanian dan tiada cara untuk berhubung dengan pihak media yang terlibat,” ujar Shila memulakan bicara.

Kongsi Shila atau nama sebenarnya NurShahila Amir Amzah, 32, momen yang menguatkan lagi emosinya untuk berdamai adalah ketika hamil pada 2019.

Sedar risiko tinggi semasa proses kelahiran, Shila enggan terus terpikul, terheret beban berat sehingga menutup mata.

“Waktu itu saya fikir untuk membuat permohonan maaf, tetapi Allah belum makbulkan ditambah dengan situasi pandemik.

“Allhamdulillah ini memang masa yang tepat untuk bertemu dengan pihak media. Jika pertemuan ini berlangsung pada lapan tahun lalu dalam keadaan semuanya masih panas, rasanya tidak akan berlaku sedamai ini.

“Saya percaya pada qada dan qadar bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah. Saya yakin dalam keadaan sekarang, saya adalah Shila yang berbeza kerana lebih matang,” ujar Shila.

Tutur Shila, semakin meningkat usia dia menyedari tiada perkara yang lebih baik daripada menjalani kehidupan yang tenang.

Baginya tiada perkara baik timbul daripada persengketaan yang berpanjangan.

“Saya rasa ringan dan begitu bersedia untuk menghadapi hari-hari mendatang dengan lebih tenang. Inilah yang selalu saya inginkan.

“Selepas apa yang dilalui, saya tidak galakkan untuk rakan-rakan artis memilih jalan sama seperti saya (turun naik mahkamah) jika mempunyai masalah dengan sesiapa pun.
“Masa terbuang, wang keluar begitu banyak. Seperti kes saya, harga guaman yang perlu dibayar mampu membeli sebuah rumah. Sangat tidak berbaloi,” jelas Shila.

TANPA dendam. Pertemuan dari hati ke hati antara Shila bersama sebahagian wartawan hiburan yang terlibat secara langsung dengan kes mahkamah lapan tahun lalu berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh tawa.

Bahagia jadi ibu tunggal

Menyentuh tentang kehidupan solo selepas bercerai dengan bekas suaminya, Haris Idraki Elias pada Februari lalu, kata Shila, bergelar ibu tunggal adalah fasa terbahagia dalam kehidupannya.

“Ini adalah fasa terindah dalam hidup saya kerana ada semangat baru untuk bekerja iaitu demi anak tunggal saya, Seth Uwais, 3.

“Selepas bercerai saya sedar sebelum bahagiakan orang lain, saya perlu bahagiakan diri sendiri terlebih dahulu. Saya perlu utamakan diri, sebelum ini saya langung tidak pernah dapat lakukan kerana sentiasa mendahulukan orang lain,” kongsinya.

Biarpun berdepan dengan cabaran yang cukup besar selaku seorang wanita, perceraian tidak membuatkan Shila serik untuk kembali membuka hati kepada lelaki.

Sambil tertawa Shila mengakui terbuka untuk kembali bercinta, malah tidak meletakkan sebarang syarat sebaliknya memadai andai lelaki itu memiliki keserasian dengannya.

“Pintu hati saya sentiasa terbuka dan tidak meletakkan masa, jika ada saya terima. Juga tidak ada spesifik kriteria tertentu untuk pasangan hidup pada masa depan.

“Saya masih muda dan saya yakin bukan semua lelaki sama. Cuma saya perlu pulihkan diri daripada sebarang trauma lampau sebelum bersedia menjalinkan hubungan semula.

“Pasangan (masa depan) saya tidak layak untuk menghadapi saya yang ‘broken’ dan penuh trauma. Saya tidak mahu kisah silam mengganggu kehidupan saya,” tutur Shila yang mengelak untuk mendekati lelaki berstatus suami orang.

Dalam perkembangan lain, Shila yang sudah tiga tahun menguruskan karier seni sendiri tanpa diurus ahli keluarga turut berkongsi bakal muncul lagu duet terbaharunya bersama penyanyi Liza Hanim berjudul Bahagiakan Dia bersama Indigital Music.

Difahamkan lagu tersebut akan dijadikan runut bunyi drama Cinta Hilang Kata siaran Astro Prima tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI