fbpx

Saya sedih, marah, saya juga manusia – Ashira Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASHIRA AZIZ

TIADA siapa mahukan perpisahan dalam sesebuah perkahwinan. Namun siapalah manusia untuk menolak takdir Tuhan jika sudah tertulis mahligai yang dibina atas dasar cinta, akhirnya terlerai di tengah jalan.

Begitulah situasi yang berlaku kepada penyanyi Ashira Aziz. Tanpa angin dan ribut, Ashira dan bekas suaminya Bad Indigo mendedahkan mereka sah bercerai selepas masing-masing mencapai kata persetujuan untuk berpisah secara baik.

Berita perceraian pasangan selebriti itu sebenarnya hampir sahaja tidak diyakini ramai, memandangkan secara tiba-tiba sahaja diumumkan menerusi Instagram.

Baik Ashira mahupun Bad, mereka juga tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang bergelar suami isteri.

Malah Ashira dan Bad juga enggan membesar-besarkan punca perpisahan mereka dan meminta media agar tidak lagi menghubunginya atau Bad selepas ini untuk bertanya lanjut tentang perceraian yang berlaku. Cukuplah.

Ternyata Ashira memiliki hati yang kuat. Walaupun sering dikecam dan dituduh yang bukan-bukan oleh netizen, bibirnya masih mampu mengukir senyuman walaupun di dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sebelum berpisah, Ashira pernah dituduh mengabaikan bekas suaminya oleh netizen, termasuk isu ‘buka tudung’ walaupun tidak pernah mengumumkan dirinya sudah berhijab penuh.

Ramai orang juga berlagak seperti Tuhan, menjatuhkan hukum pada seseorang tanpa mengambil kira perasaannya sehinggakan Ashira hairan tentang kewujudan manusia yang hilang pertimbangan dalam berkata-kata.

“Saya juga tidak terkecuali menjadi sasaran netizen untuk dikecam dan dilabel dengan pelbagai kata-kata tidak baik.

“Sebenarnya saya tidak faham mengapa netizen hari ini suka mengecam. Kalau hendak menegur sekali pun, cara mereka tidak betul,” katanya.

Dakwa pemilik nama lengkap Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 38, itu, komen-komen yang ditinggalkan netizen seolah-olah menggambarkan mereka tahu segala-gala dan berkuasa menjatuhkan hukum.

Katanya, pengakhiran hidup manusia sendiri adalah rahsia Tuhan, namun orang ramai sudah pandai-pandai menghukum dan menentukan syurga neraka seseorang.

“Jangan ambil kerja Tuhan. Sebabnya kita tidak tahu pengakhiran hidup seseorang itu nanti.

“Hendak menegur pun ada caranya dan bukan dengan menjatuhkan maruah atau mengaibkan seseorang,” jelasnya.

Kata pelantun lagu Di Ombak Resah itu lagi, netizen seharusnya fikir dahulu apa yang hendak ditulis (komen) kerana mungkin tulisan mereka boleh mengguris hati orang lain dan terjadinya fitnah.

Ashira menjelaskan dia bukanlah arif tentang agama, namun tidak juga terlalu jahil sehingga tidak tahu halal haram .

“Apabila dihukum dan dikecam, saya juga berasa sangat sedih. Marah pun ya sebab saya juga manusia,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI