fbpx

RM1.54 juta bantuan diluluskan kepada 34 koperasi Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh (empat kanan) menyampaikan mock cek bantuan kewangan kepada wakil koperasi pada Makan Malam Hari Koperasi, malam tadi.

SHAH ALAM – Sebanyak RM1.54 juta bantuan kewangan telah diluluskan kepada 34 koperasi di Selangor setakat 1 Jun tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, ini melibatkan sembilan jenis bantuan antaranya Bantuan Pembangunan SKM, Program Pengukuhan Koperasi (PPK), Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE), Program Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (PROSPEK) dan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER).

Katanya, tahun lalu sahaja sejumlah RM1.8 juta telah diluluskan bantuan kepada 40 koperasi.

“Setakat 31 Mei, terdapat sebanyak 90 koperasi baru didaftarkan di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,868 koperasi yang terdapat di Selangor.

“Jumlah itu adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Daripadanya, 11 koperasi tersenarai dalam profil 100 koperasi terbaik di Malaysia, berbanding pada tahun 2019, hanya lapan koperasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Hari Koperasi Malaysia peringkat Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Mengulas mengenai bantuan terhadap koperasi di negeri ini, Noh berharap kerajaan Selangor dapat menyediakan sedikit peruntukan untuk koperasi yang di negeri itu.

“Beberapa kerajaan negeri memang ada menyediakan peruntukan untuk membantu koperasi tetapi di Selangor tiada.

“Pelik kenapa kerajaan negeri tidak memberikan peruntukan khusus kepada koperasi. Sedangkan koperasi juga memberi pembangunan kepada kerajaan negeri, saya harap kerajaan pandang koperasi kerana ramai ahlinya di sini (Selangor),” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI