fbpx

Ramai enggan beri kebenaran jalani pemeriksaan kanser prostat, payudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy hadir Program Saringan Kesihatan Peka B40, di Dewan UITM, Rembau, hari ini.- FOTO: MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

REMBAU – Ramai rakyat Malaysia yang masih enggan memberi kebenaran bagi menjalani pemeriksaan kanser prostat dan payudara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan kecenderungan berkenaan dari hasil program Saringan Kesihatan Percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dilaksanakan sejak tahun 2019.

Menurutnya, pemeriksaan kesihatan bagi kanser berkenaan memerlukan kebenaran daripada individu yang datang dan disebabkan faktor tidak biasa serta sensitiviti kebanyakan enggan memberikan kebenaran walaupun dilaksanakan secara percuma.

“Perkara ini memerlukan kepada satu usaha penerangan yang lebih lanjut lagi sebab mungkin dari segi faktor budaya dan sebagainya mereka tak biasa, bila diterangkan saringan itu memerlukan sentuhan di badan dan tempat-tempat tertentu mereka enggan memberi kebenaran terutamanya bagi mereka yang berusia.

“Perkara ini perlu diberikan tumpuan untuk mengatasi sensitiviti. Bahkan, kanser prostat, payudara adalah kanser yang tinggi dikesan di negara ini. Kita kena cari cara untuk yakinkan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Saringan Kesihatan Peka B40, di Dewan UITM, Rembau, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy menyatakan hampir 6 juta individu yang layak untuk mendapatkan Saringan Kesihatan Percuma di bawah PeKa B40 dan daripada jumlah itu, hanya 620,000 individu telah disaring sejak 2019.

Menurutnya, masih terdapat halangan untuk rakyat pergi ke klinik mahupun hospital bagi mengetahui status kesihatan mereka.

“Mereka pergi ke klinik bila sakit bukan untuk tahu status kesihatan mereka. Ini perubahan minda yang sangat besar yang perlu dilakukan di negara kita sebab itulah sistem kesihatan kita berunsur sistem kesihatan rawatan.

“Sebahagian besar tak tahu status kesihatan mereka sehingga mereka sakit. Itu masalah sekarang di Malaysia antara sebab yang menyumbang kesesakkan di hospital serta tekanan sistem ksihatan awam.

Menurutnya, sekiranya orang ramai boleh melakukan saringan kesihatan secara berkala, kemungkinan mereka dapat mengelak duduk di hospital akibat komplikasi penyakit kronik.

“Manfaat utama saringan kesihatan secara percuma PeKa B40 ini adalah satu langkah yang penting bagi Kementerian Kesihatan (KKM) mempromosikan langkah-langkah pencegahan sebelum penyakit berkenaan menjadi lebih teruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI