BANGKOK – Bilangan pelancong Malaysia dijangka mendahului pelancong India apabila penggunaan pas kemasukan ke Thailand dibatalkan bermula 1 Julai ini, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, apabila pas masuk ke Thailand itu dimansuhkan, bilangan pelancong Malaysia yang tiba dijangka lebih ramai berbanding pelawat India.
Pelawat India menjadi kumpulan pelancong terbesar Thailand pada tahun ini dengan 100,884 pelancong tiba dari 1 Januari hingga 24 Mei lalu.
Bagaimanapun pada awal bulan ini, rakyat Malaysia dilaporkan membanjiri Phuket, manakala penerbangan harian pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur menuju ke Phuket sudah habis ditempah.
Antara lokasi tumpuan pelancong Malaysia termasuk Bangkok, Krabi, Koh Samui, Phatthalung, Pattaya, Chiang Mai, Chiang Rai, Dannok, Hat Yai, Betong dan Sungai Golok.
Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) berkata, seramai 78,523 pelawat Malaysia telah memasuki negara itu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Bagaimanapun, TAT gagal mengenal pasti sama ada sebahagian besar pelawat dari Malaysia itu terutamanya yang masuk melalui pintu sempadan di selatan Thai, adalah peniaga harian atau pelancong sebenar.
Menurut Phipat, antara faktor yang menarik kehadiran pelancong asing adalah kelemahan mata wang baht berbading dolar Amerika Syarikat (AS), kos sara hidup rendah dan harga bilik hotel berpatutan.
TAT menyasarkan bilangan pelancong India di Thailand seramai 3,000 orang sehari pada tahun ini. Organisasi tersebut merancang untuk mencapai matlamatnya melalui pelbagai kempen promosi dan insentif perjalanan khas.
TAT menyatakan bahawa pelancongan berkaitan perkahwinan semakin popular dalam kalangan pelawat India di Thailand dan agensi itu kini mempunyai matlamat untuk mengadakan 400 acara perkahwinan sedemikian pada tahun ini.
Pelancong India menempah kira-kira 300 acara perkahwinan untuk tahun ini dan kebanyakannya adalah di Phuket. – Agensi