BALIK PULAU – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menumpukan usaha membantu pengusaha inap desa di seluruh negara untuk mempromosikan kembali perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pandemik Covid-19 memberi impak ekonomi yang teruk kepada pengusaha-pengusaha inap desa malah ada di antara mereka yang terpaksa menutup operasi akibat ketiadaan pelancong.
“Kita yakin pelancong akan kembali menginap dan memeriahkan kembali aktiviti pelancongan berkonsepkan inap desa ini selepas kita berada pada pasca pandemik Covid-19.
“Selain daripada menggunakan media sosial, KPLB turut mempromosi pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), ekspo-ekspo keusahawanan, pameran-pameran agensi, karnival usahawan desa (KUD) dan lain-lain,” katanya selepas merasmikan program Visit My Kampung@Homestay Pulau Betong di sini hari ini.
Menurut Hasbi, pihaknya yakin pelancong asing berminat untuk datang kerana mereka pernah datang menginap di rumah inap-inap desa di kawasan kampung.
“Selain itu, setiap kawasan inap desa juga mempunyai tarikannya yang tersendiri seperti di Balik Pulau terkenal dengan durian.” jelasnya. KOSMO! ONLINE