PETALING JAYA – Pengarah filem Singapura, Jack Neo, melahirkan rasa teruja apabila naskhah sekuel arahannya, Ah Girl Go Army Again (AGGA) menerima sambutan yang baik di tanah airnya dan juga di Malaysia.
Menurut Jack, dia lebih bersemangat untuk mengetahui respons penonton memandangkan kini hampir semua pawagam telah beroperasi seperti biasa dan penonton juga berpeluang menyaksikan filem tersebut.
“Saya tidak menolak bahawa fasa pandemik sangat mengganggu industri perfileman di Singapura dan Malaysia. Jadi apabila kini penonton sudah dapat menontonnya di pawagam, saya rasa lebih bersemangat.
“Satu lagi, niat asal saya untuk membuat filem AGGA juga adalah untuk menunjukkan bahawa golongan wanita juga mampu melakukan setiap perkara yang kaum lelaki boleh.
“Selain itu, saya mahu menyebarkan unsur positif menerusi filem ketika dalam tempoh pandemik ini dan selain menekankan jangan sesekali berputus asa terhadap impian sendiri,”katanya.
Dalam pada itu, mengenai penghasilan AGGA, dia juga telah lama mengimpikan agar naskhah tersebut dijadikan sekuel kerana amat sukar untuk menjadikannya hanya sebuah filem.
“Saya seorang yang suka bercerita dan apabila mula menulis skrip untuk filem ini, banyak idea menarik dan ingin dimasukkan ke dalamnya. Entah kenapa dari satu filem, akhirnya terbahagi dua.
“Saya pasti, mereka yang telah menonton filem pertama pasti setuju bahawa sekuel ini lebih baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menjawab kepada soalan mengenai kejayaan filem yang akan ditayangkan, Jack memberi bayangan bahawa kemungkinan untuk menghasilkan AGGA ketiga.
“Filem pertama merupakan satu proses persediaan dan penonton perlu menyaksikan sekuelnya untuk mengetahui keseluruhan jalan cerita.
“Sambungan ketiga akan menyusul sekiranya ia mendapat sambutan yang memberangsangkan,” tuturnya.
Sebagai info, AGGA yang ditayangkan di pawagam tanah air sejak 23 Jun lalu itu masih meneruskan kisah perjuangan sekumpulan rekrut wanita khas (Ah Girls) pertama di Singapura.
Filem AGGA diterbitkan oleh mm2 entertainment, Mega Films Distribution, dan Infinity Resources dan turut membintangi naskhah ini ialah Tosh, Joshua, Noah, Hafiz Aziz, serta selebriti media sosial, Mr Brown dan juga Jack sendiri. – KOSMO! ONLINE