KUALA LUMPUR – Dua beranak rentung setelah rumah banglo tiga tingkat di Tiara Villa, Jalan Sekutu 4, Taman Gembira, dekat sini terbakar pagi tadi.
Komander Operasi Bomba Kuala Lumpur, PBK II Musa Abdullah berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.22 pagi.
“Seramai 35 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, Hang Tuah, Sri Petaling dan Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian pukul 6.32 pagi didapati api sedang marak membakar sebuah rumah banglo tiga tingkat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, terdapat empat orang individu terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki terperangkap di dalam rumah berkenaan.
“Dua mangsa yang merupakan ibu dan anak perempuan berusia 62 dan 31 tahun ditemui rentung.
“Manakala dua lagi penghuni lelaki dipercayai bapa dan anak cedera dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Ujar beliau, dengan kepantasan anggota bomba membuat pemadaman mengunakan kaedah pemadaman secara ‘offensive firefigthing’ dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.54 pagi dan didapati tingkat satu rumah berkenaan 100 peratus terbakar manakala tingkat dua pula 50 peratus,” katanya.
Tambahnya lagi, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE