PETALING JAYA – Berebut parkir dipercayai punca dua sekawan cedera selepas diserang tiga beranak di hadapan sebuah premis di Damansara Utama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diserang dua lelaki dan seorang wanita tempatan.
“Kejadian dipercayai berlaku pukul 1.10 tengah hari ketika pengadu (pemilik premis) meletakkan kereta jenis Toyota Vios di lot parkir hadapan kedainya.
“Secara tiba-tiba seorang lelaki menjerit memanggil dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka. Isteri lelaki itu memarahi dan membaling telur ke arah mangsa serta rakannya.
“Tidak lama kemudian datang pula anak lelaki pasangan itu memarahi mangsa dan rakannya sambil memegang tukul besi serta mengugut untuk merosakkan kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, telah berlaku pergelutan antara kelima-lima individu menyebabkan mangsa dan rakannya mengalami kecederaan.
“Semasa pergelutan berlaku, anak pasangan itu yang berusia 31 tahun disyaki turut memegang pisau pemotong daging dan alat pemadam api,” katanya.
Jelas beliau, susulan insiden itu, pihaknya menahan lelaki tersebut pada pukul 4.30 petang dan merampas tukul besi, pisau dan alat pemadam api yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan perebutan lot parkir. Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE