fbpx

240 pengedar dadah di Kelantan dicekup dalam tempoh 6 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan daun ketum dan pil kuda yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu hari ini. - FOTO: ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan seramai 240 lelaki yang disyaki pengedar dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM98,000 sepanjang tempoh enam hari Ops Tapis di negeri ini yang berakhir semalam.

Selain rampasan dadah, polis turut menyita barangan milik kesemua pengedar dadah yang dianggarkan bernilai RM57,000 yang turut dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran bahan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam tangkapan terbaharu dalam Ops Tapis, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun semasa berada di sebuah pangkin kayu di Kampung Bendang Pulau, Palekbang dekat Tumpat kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Menurutnya, suspek dipercayai merupakan pengedar dadah berada seorang diri di lokasi tersebut dengan sebuah kotak besi bersamanya.

“Polis terus menjalankan serbuan sebelum mendapati sebanyak 194 biji pil kuda berada di dalam kotak tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan pangkin itu turut menjumpai satu bungkusan plastik di atas tanah yang mengandungi sebanyak 2,800 pil kuda, 3.7 gram syabu dan 500 mililiter air ketum,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, kesemua rampasan dadah dan air ketum itu dianggarkan bernilai RM30,200 selain polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Jazz dipercayai milik suspek.

Dalam perkembangan berasingan, katanya, pegawai dan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang pemandu lori yang disyaki cuba menyeludup sebanyak 700 kilogram daun ketum ke Thailand semalam di Lalang Pepuyu dekat Tanah Merah kira-kira pukul 10.15 pagi semalam.

“Pemeriksaan di bahagian belakang yang ditutup dengan kanvas telah menjumpai sebanyak 70 bungkusan plastik hitam yang setiap satu bungkusan mengandungi 10 kilogram ketum.

“Siasatan mendapati, kesemua daun ketum itu bernilai RM51,200,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kedua-dua suspek reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 bagi kes rampasan ketum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI