OSLO, Norway – Penganjur perarakan tahunan Pride yang meraikan kewujudan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) di Norway mengambil keputusan membatalkan acara tersebut selepas satu insiden tembakan berlaku di sebuah kelab malam gay, lapor agensi berita United Press International, kelmarin.
Kejadian tembakan di sebuah kelab malam itu telah meragut dua nyawa dan menyebabkan 21 orang lagi cedera dengan 10 daripadanya mengalami kecederaan parah.
Tembakan dilaporkan berlaku pada pukul 1:14 pagi Sabtu (waktu tempatan) di London Pub, sebuah bar dan sebuah restoran makanan segera.
Polis menahan seorang suspek lelaki bersenjata yang dipercayai bertindak bersendirian. Ia bagaimanapun belum mengenal pasti identiti suspek tetapi menyifatkannya sebagai warga Norway berusia 42 tahun berketurunan Iran, demikian menurut akhbar Norway Aftenposten
Pihak berkuasa berkata mereka merampas dua senjata daripadanya sebaik ditahan.
Suspek ditahan atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan keganasan, kata pegawai polis, Christian Hatlo.
Serangan itu berlaku beberapa jam sebelum perarakan kebanggaan golongan LGBT yang dirancang di bandar itu. Ia kemudian dibatalkan penganjur atas nasihat polis.
Walaupun dibatalkan, beribu-ribu orang menyertai perarakan di luar kelab malam tempat kejadian berlaku sambil mengibarkan bendera Pride. – Agensi