KOTA BHARU – Pemotongan gaji menteri untuk tabung negara dianggap wajar dalam membantu meringankan beban yang sedang dihadapi oleh rakyat ketika ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan langkah tersebut ketika negara dijangka akan berdepan dengan situasi inflasi makanan.
“Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dahulu, pemotongan ke atas gaji menteri telah dijalankan selama beberapa bulan.
“Jadi, saya tidak mempunyai masalah dengan tindakan itu untuk tabung negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Negeri Kelantan di sebuah kompleks beli-belah di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Negeri, Saiful Adli Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Muslimin memberitahu, bagaimanapun, segala keputusan atau tindakan akan diumumkan kerajaan sekiranya langkah itu dilaksanakan.
Katanya, beliau turut menjangkakan menteri lain akan turut bersetuju apabila kerajaan melaksanakan pemotongan gaji itu.
Terdahulu, Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemotongan elaun dan gaji barisan menteri kabinet sebanyak 20 peratus dengan kadar segera.
Katanya, langkah itu wajib diutamakan kerajaan bagi menunjukkan sifat empati terhadap rakyat. – KOSMO! ONLINE