TALLAHASSEE, Florida – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat wabak penyakit meningokokus yang menyerang golongan gay dan biseksual di negeri Florida, lapor laman berita Wionews kelmarin.
CDC memberitahu, sebanyak 24 kes penyakit itu dikesan dengan enam kematian dilaporkan dalam kalangan lelaki gay dan biseksual setakat ini.
Menurut CDC, pihaknya mengesyorkan supaya golongan itu mendapatkan vaksin MenACWY.
Pengarah Pusat Imunisasi dan Penyakit Pernafasan Kebangsaan, José R. Romero berkata, pengambilan vaksin adalah cara terbaik mencegah penularan penyakit berbahaya tersebut.
“Meningokokus adalah penyakit yang sangat cepat merebak dan boleh membawa maut dalam masa singkat.
“Disebabkan trend peningkatan kes ini di Florida dan bilangan acara Pride yang akan diadakan di seluruh negeri dalam beberapa minggu akan datang, adalah penting untuk lelaki gay dan biseksual mendapatkan vaksin,” tambah Romero.
Pride adalah acara tahunan termasuk pesta dan perhimpunan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender atau LGBT bagi meraikan kewujudan mereka.
Gejala penyakit meningokokus termasuk demam panas, sakit kepala, leher kaku, loya dan kemunculan ruam berwarna ungu gelap.
Ia akan muncul pada awalnya sebagai penyakit mirip selesema tetapi menjadi teruk dengan cepat.
Orang ramai menyebarkan bakteria meningokokus kepada orang lain dengan berkongsi rembesan pernafasan dan tekak, tambahnya. – Agensi