JOHOR BAHRU – Sebanyak 71,833 kes jenayah komersial telah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kerugian lebih RM5.2 bilion sejak 2020 hingga Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 47,850 kes yang dicatatkan merupakan jenayah penipuan dalam talian.
Beliau berkata, angka kes yang besar itu perlu diberi perhatian untuk memastikan ia dapat dikawal supaya orang awam tidak lagi terpedaya dengan jenayah atas talian.
Katanya, sejak menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat, kes membabitkan Love Scam mencatatkan penurunan.
“Bagi kes Love Scam, ia mencatatkan penurunan daripada 1,580 kes pada 2020 menurun kepada 1,460 kes pada 2021 dan sebanyak 361 kes pada tahun ini setakat bulan lalu.
“Kebanyakan kes Love Scam ini dilakukan mereka yang menyamar sebagai kekasih kepada mangsa sebelum memperdayakan mangsa memindahkan duit bagi tujuan penghantaran atau tuntutan barangan.
“Bagi kes Macau Scam pula, sebanyak 2,254 kes yang direkodkan pada 2020 mencatatkan penurunan kepada 1,586 kes pada 2021 dan meningkat kepada 1,612 kes setakat Mei tahun ini.
“Kes Macau Scam ini melibatkan sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa memperdayakan mangsa untuk membuat pemindahan wang bagi kes yang didakwa bersabit mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Anti Scam PDRM 2022 di sini hari ini.
Acryl berkata, kes penipuan pembelian e-dagang turut mencatatkan peningkatan daripada 8,851 kes pada 2020 meningkat kepada 9,569 pada tahun lalu dan setakat Mei ini, sebanyak 3,833 kes telah direkodkan.
Beliau berkata, kempen kesedaran tersebut adalah kesinambungan kempen yang digerakkan pada November tahun lalu di Kuala Lumpur memastikan lebih ramai rakyat di negara ini peka terhadap modus operandi sindiket penipuan.
“Ini yang kita khuatir sekiranya kita tak bendung kesedaran dalam kalangan orang ramai kes seperti ini akan meningkat tanpa kawalan. Justeru, kita perlu memberikan perhatian setelah jenayah tradisional ragut, samun tepi jalan beralih kepada jenayah atas talian,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2020 hingga Mei lalu, sebanyak 26,213 kes yang dilaporkan telah didakwa di mahkamah.
Tambahnya, cabaran yang dihadapi pihaknya untuk melakukan siasatan setelah mangsa malu untuk tampil membuat laporan, tidak mahu masyarakat tahu dia menjadi mangsa penipuan dan merasakan tidak berbaloi untuk membuat aduan. – KOSMO! ONLINE