SELASA lalu, kerajaan mengumumkan penamatan subsidi minyak masak berbotol dan meneruskan subsidi minyak masak peket dengan jumlah subsidi RM4 bilion tahun ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian mengumumkan pemberian bantuan tunai tambahan RM100 kepada isi rumah B40 dan RM50 untuk golongan bujang.
Sekali imbas, pengumuman itu seakan-akan tidak popular dalam kalangan rakyat, meskipun Perdana Menteri menjelaskan minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan.
Jelasnya, 60,000 tan metrik minyak masak peket bersubsidi sebulan yang disediakan mencukupi untuk kegunaan rakyat.
Apabila dilihat kembali, penulis tidak sempat ‘merasa’ minyak masak berbotol bersubsidi yang disediakan kerajaan, mungkin disebabkan bekalannya terhad (atau diseleweng), namun minyak masak peket memang ada tersedia di pasaran.
Cuma ada kalanya kita perlu bertanya kepada penjaga kaunter kerana sesetengah kedai tidak meletakkan minyak masak peket di rak jualan, terutamanya ketika bekalannya kurang.
Berhubung rasionalisasi subsidi, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi menerusi Laporan Kewangan Rakyat ke-95 pada 21 Mei lalu mendedahkan sebahagian besar subsidi petrol berjumlah RM4 bilion setakat Mac 2022 dinikmati oleh golongan berada.
Katanya, bagi setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen dinikmati golongan T20, manakala B40 hanya memanfaatkan 15 sen.
Bagi penulis, ia satu isyarat cukup jelas daripada kerajaan bahawa pemberian subsidi bahan api ketika ini tidak akan berpanjangan dan langkah rasionalisasi subsidi bakal dilakukan.
Namun, jika dilihat pada respons pengumuman Rabu lalu, langkah melaksanakan rasionalisasi subsidi jelas bukan mudah, meskipun ramai mengakui ia memberikan manfaat yang lebih buat orang kebanyakan.
Menurut Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, pengumuman penamatan subsidi minyak masak berbotol dilihat satu permulaan kepada pemberian subsidi secara lebih bersasar berbanding secara pukal.
Katanya, ia juga tidak hanya melibatkan minyak masak, malah petrol dan tenaga elektrik.
“Subsidi bersasar memang wajar, kerana T20 berbelanja lebih untuk item seperti petrol dan elektrik berbanding B40 yang mana sebahagian besar perbelanjaan mereka adalah untuk makanan.
“Pada masa sama, mekanisme untuk memastikan tiada golongan yang terlepas daripada menerima bantuan perlu diperhalusi kerana bukan setakat B40, golongan M40 yang tinggal di bandar turut terkesan dengan kenaikan harga barang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmed Razman menegaskan, sentimen orang ramai berhubung penamatan subsidi minyak berbotol tidak sewajarnya dipandang ringan.
“Kerajaan perlu perjelaskan mekanisme untuk mengawal penyelewengan minyak masak ini, sebab minyak masak peket pun boleh diseleweng, tidak hanya berbotol.
“Godaan untuk menyeleweng minyak masak terlalu tinggi kerana margin keuntungan sangat besar apabila harga pasaran sekilogram minyak masak kini mencecah RM9 berbanding RM2.50 harga subsidi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE