PETALING JAYA – Komplikasi serius seperti lumpuh muka, bengkak hati serta kematian boleh terjadi jika parasit atau kutu babi yang terdapat pada tubuh badan tidak dibuang segera.
Menerusi perkongsian Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Twitter menjelaskan perkara itu disebabkan air liur kutu babi mengandungi kuman-kuman yang berbahaya.
Katanya, kutu berkenaan merupakan sejenis parasit luaran kecil yang akan menggigit kulit hos dan melekat bagi jangka masa lama untuk menghisap darah.
“Apabila kutu ini menggigit serta melekat pada anggota tubuh, maka kulit di kawasan itu akan terasa sakit, merah dan bengkak sehingga menyebabkan demam, lesu dan ruam.
“Kita perlu kenali kutu ini, periksa tubuh setelah lakukan aktiviti di kawasan belukar serta melibatkan haiwan. Individu juga disarankan berjumpa doktor jika digigit kutu babi,” katanya.
Menurut Kamarul Ariffin, lazimnya parasit ini akan menggigit manusia di bahagian anggota badan seperti kelopak mata, kulit kepala, lubang telinga, ketiak serta pusat. – KOSMO! ONLINE