fbpx

KL Wildcats mandi peluh tewaskan Selangor Angels

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang KL Wildcats, Puteri Intan Balqis Ahmad Zulkefli (GS) cuba merebut bola dengan penjaga gol (GK) Selangor Angels, Zawani Nisha Habib Rahman pada separuh akhir Sooka Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Turun sebagai pasukan pilihan bukan tiket buat Kuala Lumpur (KL) Wildcats untuk mendapat kemenangan mudah apabila dipaksa bekerja keras ketika menewaskan Selangor Angels pada separuh akhir Sooka Netball Super League (NSL) 2022.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi, skuad kendalian Norizan Rajab itu diberi tentangan sengit sebelum memastikan kemenangan 57-50 ke atas Selangor.

Perlawanan yang dilabel sebagai derbi Lembah Klang itu nyata menyajikan aksi cukup menarik apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Selangor menunjukkan penguasaan pada suku masa pertama selepas mendahului 14-12.

“Bagi saya, perlawanan malam ini sangat berpuas hati dan saya fikir kami boleh menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan akhir esok. Kami ada misi tersendiri untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

“Saya akui KL agak bergelut malam ini, mungkin kerana Selangor sudah tahu strategi dan gaya permainan kami sehingga beri kelebihan kepada mereka untuk beri tentangan sengit,” kata penyerang KL, Puteri Intan Balqis Ahmad Zulkefli.

Memasuki suku masa kedua, KL yang mula mendapatkan rentak permainan sebenar mereka mula mengatur langkah dalam usaha mereka melakar kebangkitan dan berjaya mendahului 29-25.

Bagaimanapun, Selangor yang dibimbing Azizah Abu tidak mengenal erti putus asa apabila kembali memperkemaskan permainan dan meletakkan KL dalam keadaan tertekan selepas merapatkan kedudukan 38-43.

KL yang tersentak dengan kebangkitan ditunjukkan Selangor kemudiannya memperbaiki permainan pada suku masa keempat sebelum memastikan kemenangan mutlak 57-50 untuk ke pentas final bertemu Johor Jewels.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN