KIEV – Seekor kambing di Ukraine dilaporkan menyebabkan berpuluh-puluh anggota tentera Russia cedera ketika mereka memasang jerangkap samar, lapor akhbar Daily Star semalam.
Ketika kejadian, pasukan tentera Russia sedang memasang jerangkap samar dikenali sebagai ‘tripwire’ di sekeliling sebuah hospital apabila kambing tersebut bergerak ke arah jerangkap samar itu.
Mereka meletakkan bom tangan di sekeliling bangunan tersebut yang akan meletup sekiranya wayar itu diganggu.
Kambing itu dikatakan terlepas dari sebuah ladang ternak berdekatan. Haiwan itu mengaktifkan sistem pertahanan jerangkap samar tersebut menerusi pergerakannya yang ‘huru-hara’.
Bom-bom yang dipasang meletup dalam tindak balas berantai sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 40 askar Russia cedera.
“Akibat pergerakan ‘huru-hara’ kambing itu, ia meletupkan sebilangan bom tangan,” kata seorang pegawai Direktorat Perisikan Ukraine.
Kejadian berlaku di kampung Kinski Rozdory di wilayah Zaporizhia, tenggara Ukraine, manakala nasib kambing itu pula tidak dapat dipastikan. – Agensi