fbpx

Jawi perkenal modul kursus Fasa Bulan Madu untuk pasangan B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris beramah mesra dengan peserta kursus Fasa Bulan Madu anjuran Jawi dan Jakim di Janda Baik, Pahang.

PUTRAJAYA – Seramai 15 pasangan suami isteri bertuah menjadi peserta sulung bagi Kursus Pasca Perkahwinan Islam Fasa ‘Bulan Madu’ anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad di Janda Baik, Pahang pagi tadi.

Jawi menerusi kenyataan akhbar berkata, 15 pasangan suami isteri itu masing-masing berada pada fasa perkahwinan berusia 1 hingga 5 tahun dengan penyertaan peserta usia perkahwinan paling muda iaitu 1 bulan.

Menurutnya, kursus secara percuma selama tiga hari dua itu dikendalikan penceramah dan fasilitator berpengalaman dengan pelbagai pengisian menarik seperti motivasi, pengurusan kesihatan dan kewangan serta aktiviti santai secara interaktif.

“Objektif kursus itu diadakan adalah bagi memantapkan ilmu dan kemahiran kepada pasangan suami isteri terutamanya dalam kalangan B40.

“Ia juga membantu memperkukuhkan keharmonian rumahtangga lebih-lebih lagi ketika mendepani pelbagai cabaran pada awal usia perkahwinan,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan statistik Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM), sejumlah 4,243 orang telah mendaftarkan perkahwinan di Jawi sejak awal tahun sehingga Jun 2022.

Jelasnya lagi, fasa ‘Bulan Madu’ adalah modul terawal daripada empat modul pengukuhan rumahtangga yang dibangunkan oleh Jakim berdasarkan fasa perkahwinan.

Antara modul diperkenalkan termasuk Fasa Bulan Madu melibatkan usia perkahwinan kurang lima tahun; Fasa Sehati Sejiwa (enam hingga 10 tahun); Fasa Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21 tahun ke atas).

Sebelum ini, Jawi pernah melaksanakan Kursus Pasca Perkahwinan bagi modul ‘Sehati Sejiwa’ melibatkan penyertaan pasangan suami isteri sekitar Wilayah Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI