BEIJING – Sebatang jalan baru siap dibina yang mempunyai lebih 200 selekoh menjadi tarikan pelancong di barat China, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Laluan dinamakan Jalan Panlong Purba itu mempunyai selekoh tajam dan curam dari sebuah dataran menuju ke kawasan pegunungan yang dilitupi salji.
Jika dilihat dari udara, jalan itu berbentuk seperti seekor naga. Nama Panlong berasal daripada naga air dalam mitos China.
Jalan sepanjang 75 kilometer (km) itu digelar sebagai Plateau Sky Road oleh penduduk tempatan. Ia terletak di daerah Taxkorgan Tajik, wilayah Xinjiang.
Tujuan asal pembinaannya adalah untuk menyediakan laluan di Pergunungan Kunlun kepada petani dan pengembala tempatan.
Sejak dibuka pada 2019, laluan itu dikongsikan oleh ramai pesohor media sosial di laman YouTube dan Instagram.
Jalan itu berada pada ketinggian 4,200 meter dengan ketinggian yang perlu dilalui adalah 1,000 meter.
Beratus-ratus ulasan mengenai perjalanan di jalan itu dipaparkan di laman sosial. Ia digambarkan sebagai cabaran penuh dengan keterujaan, tidak dapat ditandingi dan sangat indah.
Dalam pada itu, laman pemantauan jalan berbahaya, www.dangerousroads.org menggelar Jalan Panlong sebagai ‘impian pemandu tegar’ di samping memberi amaran kepada pemandu supaya berhati-hati semasa hujan dan salji. – Agensi