PETALING JAYA – Kenaikan harga barangan dijangka naik kira-kira 30 peratus, sejajar dengan pemansuhan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol yang tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga barangan memang sudah dijangka, justeru rakyat akan berasa terkesan sekali gus perlu melakukan perubahan dalam gaya hidup mereka.
“Disebabkan kenaikan harga barangan, rakyat juga perlu melakukan perubahan daripada kenaikan harga 30 peratus ini. Mereka perlu bersedia dan berlapang dada menghadapinya selain mengambil langkah sepatutnya.
“Rakyat boleh lalui kehidupan yang tidak mewah dan bersederhana. Jadi mereka perlu berjimat cermat, ubah perangai serta gaya hidup,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Dalam pada itu, katanya, tidak hanya hidup secara sederhana, rakyat juga perlu melakukan sesuatu untuk lebih produktif dalam menghadapi kenaikan harga barangan di negara ini.
“Kerajaan nak tarik subsidi, tariklah tetapi kena lihat apa hendak dibuat misalnya, ke mana arah duit subsidi tersebut. Mungkin boleh dijadikan untuk membantu rakyat supaya produktif.
“Contohnya pemberian lesen perniagaan atau membantu asnaf yang memerlukan, perumahan kepada orang susah atau menggalakkan penanaman jagung,” katanya.
Ujarnya lagi, langkah tersebut adalah perlu dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini. -KOSMO! ONLINE