KLANG – Kira-kira 500 penduduk Flat Seri Berembang, Pelabuhan Klang di sini diminta berpindah selepas kediaman tersebut tidak selamat diduduki ekoran retak dan kerosakan struktur asas bangunan itu.
Ini melibatkan 304 unit rumah di blok A, B dan C daripada empat blok keseluruhan di flat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, status tidak selamat itu dikeluarkan oleh pihak konsultan yang menjalankan pemeriksaan terhadap tiga blok flat itu selama lapan bulan.
“Setelah dimaklumkan oleh pihak konsultan petang semalam, saya ambil keputusan untuk berjumpa dengan penduduk flat malam ini (kelmarin).
“Saya telah minta Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk mengeluarkan notis arahan mengosongkan bangunan untuk flat tersebut pada esok (semalam),” katanya pada perjumpaan dengan penduduk Flat Sri Berembang di Pelabuhan Klang, malam kelmarin.
Menurut beliau, kerajaan negeri menawarkan untuk memberi setiap pemilik rumah RM42,000 dengan peruntukan berjumlah RM13 juta untuk dijadikan kos menyewa rumah baharu.
Bagaimanapun ujarnya, majoriti penduduk menolak tawaran tersebut walaupun flat tersebut bukan di bawah bidang kuasa pihak kerajaan negeri.
“Apa pun, saya harap penduduk segera berpindah kerana khuatir insiden yang tidak diingini berlaku.
“Saya juga telah hubungi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tanya mengenai janji, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mahu membina sebuah flat baharu bernilai RM50 juta bagi penduduk Flat Sri Berembang, baru-baru ini.
“Namun, Menteri KPKT terkini, Datuk Seri Reezal Naina Merican memaklumkan bahawa tidak ada keputusan yang dibuat pihak kementerian berhubung perkara terbabit,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan penduduk di Flat Taman Sri Berembang di sini bimbang terhadap keselamatan mereka ekoran keadaan flat yang didiami lebih 400 orang itu mengalami retak teruk.
Ekoran itu, Zuraida yang ketika itu Menteri KPKT telah melakukan lawatan pada 29 September 2020 dengan menyatakan kementeriannya mempunyai peruntukan sejumlah RM50 juta bagi pembinaan lima blok pangsapuri kos rendah yang mampu menempatkan 3,000 penduduk di situ. -KOSMO! ONLINE