PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah sekali bertegas hubungan cinta lama bersama pelakon Sharnaaz Ahmad suatu ketika dahulu tidak mungkin akan kembali terjalin seperti yang diharapkan segelintir peminat.
Shila atau atau nama sebenarnya, NurShahila Amir Amzah berkata, kini, dia hanya mengharapkan yang terbaik buat dirinya termasuk buat Sharnaaz dalam mendepani hari mendatang.
“Cuma nak doakan kebahagiaan kami berdua berasingan, itu sahaja. Tak tahulah kenapa bahasa semudah ini pun tak boleh difahami.
“Dan, terus disalahertikan. Peminat dia kena belajar adab sebab saya tak pernah cakap kasar dan maksudkan benda yang tak elok.
“Saya rasa tak berbaloi untuk layan tetapi kadang-kadang menyampah juga apabila orang menginginkan sesuatu yang tak pernah akan terjadi,” coretnya menjawab beberapa pertanyaan peminat menerusi Instastory.
Shila yang kini popular dengan single berjudul Khilaf Asmara turut memaklumkan, dirinya sekarang sangat bahagia berbanding dahulu dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang terjadi antaranya dengan Sharnaaz.
“Tiada hal pasal media ke apa. Kalau memang takkan berlaku, ia takkan berlaku okey. Lagipun, saya lagi bahagia sekarang berbanding dahulu. Bagilah saya ruang untuk bahagia sendiri,” katanya.
Terdahulu, Shila pernah menjalin hubungan cinta dengan Sharnaaz sekitar tahun 2012 dan 2013 namun jodoh antara mereka tidak kesampaian. Hubungan mereka kembali diperkatakan sejak Sharnaaz menyatakan pujian terhadap Shila dalam kemenangan Anugerah Juara Lagu ke-26, Mac lalu.
Pada Februari lalu, Shila juga mengesahkan perceraian dengan bekas suami, Haris Idraki Elias.
Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, Shila dan Haris dikurniakan cahaya mata lelaki, Seth Uwais yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE