PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan cuaca cerah dan baik melibatkan kebanyakan negeri di Semenanjung pada pagi ini.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di YouTube menyarankan agar orang ramai mengambil peluang beriadah bersama keluarga di waktu pagi ekoran tiada cerapan hujan yang direkodkan.
“Namun, keadaan hujan lebat dan ribut petir sedang berlaku di negeri Johor melibatkan daerah Pontian, Batu Pahat dan Kota Tinggi.
“Keadaan cuaca buruk di negeri Johor diramal akan berterusan sehingga awal tengah hari nanti,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, melihat imej radar tinjauan cuaca di negeri Sarawak dan Sabah, tiada cerapan hujan berlaku dan keadaan dilaporkan cerah ketika ini.
Bagaimanapun, hujan lebat serta ribut petir sedang melanda di bahagian perairan kedua-dua negeri terbabit. – KOSMO! ONLINE