MELAKA – Seorang lelaki seberat 200 kilogram terpaksa dibawa ke hospital menggunakan lori angkut oleh sepasukan bomba selepas mengalami strok di rumahnya di Tanjung Kling, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nyat berkata, panggilan kecemasan diterima daripada pihak hospital kira-kira pukul 4.40 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi bersama-sama sebuah jentera dan lori angkut.
“Kita menerima panggilan untuk membantu pihak hospital membawa seorang pesakit obesiti seberat 200 kilogram ke hospital.
“Difahamkan lelaki berusia 33 tahun itu mengalami strok dan perlu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka,” katanya.
Katanya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengangkat lelaki tersebut ke atas lori angkut dan operasi tamat pada pukul 6 pagi. – KOSMO! ONLINE