PUTRAJAYA – Hanya dengan bayaran serendah RM1, warga Putrajaya dan sekitarnya sudah boleh merasai pengalaman menaiki belon udara panas yang ditambat.
Aktiviti berkenaan ditawarkan penyedia perkhidmatan pembayaran tanpa tunai, DuitNow sempena sambutan Karnival Jom Heboh di Anjung Floria, Presint 4 di sini, selama dua hari yang akan berakhir esok.
Pengarah Pembayaran Runcit dan Perkhidmatan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Khairuan Abd Rahman berkata, pengunjung berpeluang menaiki belon udara panas itu dengan bayaran RM1 yang perlu dibayar menerusi menerusi DuitNow QR.
Beliau berkata, aktiviti itu akan mula dibuka kepada pengunjung bermula pukul 8 hingga 11 pagi dan 6 petang hingga 9 malam di mana belon udara itu akan dilepaskan dari tapak Anjung Floria dan akan berlegar di atas udara.
“DuitNow sangat teruja untuk bekerjasama dengan Karnival Jom Heboh sebagai rakan penyedia pembayaran tanpa tunai selama dua hari ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, selain belon udara panas, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti lain di tawarkan DuitNow termasuk lukisan muka dan sudut ‘Instagrammable’.
Khairuan berkata, pihaknya merancang untuk membawa belon udara panas ini beberapa buah negeri selepas ini selain mempromosikan DuitNow.
Dalam pada itu, Khairuan berkata, DuitNow akan terus memperluaskan perkhidmatannya sekali gus membantu memperluas budaya imbas dan bayar di negara ini.
“Dengan DuitNow, peniaga dan pengguna boleh berurus niaga dengan mudah dengan hanya mengimbas kod QR DuitNow,” katanya. – KOSMO! ONLINE