fbpx

Alex Marquez tinggalkan LCR Honda ke Gresini Ducati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALEX bergelut dengan prestasi musim ini menyebabkan LCR membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya. – AFP

LONDON – Pelumba Sepanyol, Alex Marquez akan meninggalkan pasukan LCR Honda pada penghujung musim MotoGP 2022 dan dijangka menyertai Gresini Ducati tahun depan.

Juara dunia Moto3 2014 dan juara Moto2 2019 itu membuat penampilan sulungnya di MotoGP bersama Honda pada 2020 bagi menggantikan Jorge Lo­renzo bersama pasukan Repsol Honda.

Meraikan dua podium dalam kempen rookienya, adik kepada Marc Marquez itu dipindahkan ke LCR untuk 2021 dengan perjanjian dua tahun untuk terus menyertai pasukan pengeluar jentera dari Jepun tersebut.

Bagaimanapun, Alex dilihat masih bergelut mendapatkan hasil terbaik pada kempen 2022 selepas hanya mampu mengutip 26 mata dan rekod terbaik hanya sekadar menamatkan saingan tempat ketujuh di Grand Prix (GP) Portugal.

Ketua Pasukan LCR Honda, Lucio Cecchinello mengesahkan bahawa pihaknya tidak akan melanjutkan kontrak Alex dan bakal membawa masuk pelumba baharu.

“Kami memahami bahawa Alex semakin sukar untuk mendapatkan keputusan terbaik bersama jentera Honda. Dia tidak begitu kompetitif seperti yang kita harapkan.

“Kami akan terus memberikan yang terbaik kepada Alex sehingga penghujung musim untuk membantunya mendapatkan keputusan lebih baik,” kata Cecchinello.

Dalam pada itu, Cecchinello tidak menafikan bahawa pasukannya telah melakukan perbincangan dengan ejen Alex Rins (Suzuki).
Cecchinello berharap perbincangan terakhir dapat diputuskan menjelang perlumbaan di GP Belanda hujung minggu ini.

“Saya berharap hujung minggu ini di Assen, pasukan dapat untuk bertemu dengannya sekali lagi untuk melanjutkan beberapa perbincangan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI