fbpx

Alam Flora membudayakan kelestarian alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZAHARI melepaskan para peserta untuk menjalani aktiviti Sustainability Hunt 2022 anjuran Alam Flora.

KUALA LUMPUR-Kelestarian alam sekitar merupakan satu agenda penting yang perlu digerakkan dalam usaha menangani krisis bencana di peringkat global.

Menyedari akan kepentingan dan faedahnya, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) telah melaksanakan beberapa program dan inisiatifnya yang tersendiri.

Antara program yang dilaksanakan untuk menyokong agenda kelestarian alam sekitar termasuk Sustainability Hunt 2022.

Ketua Pegawai Operasinya, Azahari Zainal Abidin berkata, program tersebut dilaksanakan sebagai salah satu cara untuk memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama menjaga bumi melalui amalan kelestarian.

AZAHARI (dua dari kanan) bergambar bersama sebahagian pemenang program Sustainability Hunt 2022 anjuran Alam Flora yang diadakan di sekitar Taman Tugu, Kuala Lumpur.

“Objektif kita melaksanakan program ini adalah untuk memberi kesedaran tentang mengurangkan jejak karbon, kesan pelepasan gas rumah hijau dan metana terhadap alam sekitar dan bagaimana cara untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam kita melakukan aktivti harian melalui amalan tersebut.

“Selain itu, kita juga mahu masyarakat bersama membantu mencapai matlamat untuk mengurangkan sisa kitar semula yang dihantar ke tapak pelupusan sampah kepada 40 peratus menjelang 2025,” katanya.

Tambahnya, kita semua harus ingat bahawa mengekalkan persekitaran dan menjaga kebersihan adalah usahasama semua pihak. 

Untuk melakukan itu, informasi mengenai amalan kelestarian alam sekitar, kebersihan dan penjagaan alam sekitar melalui media  arus perdana dan media sosial memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat menerima informasi yang cepat dan tepat.

Azahari berkata, program Sustainability Hunt 2022 yang telah berlangsung di Taman Tugu, Kuala Lumpur telah disertai oleh pengamal media dan rangkaian komuniti media sosial seperti  ‘Key Opinion Leader (KOLs), ‘influencer’ serta penulis blog.

“Melalui program ini, ia memanfaatkan reputasi dan capaian pengikut mereka untuk mengetengahkan usaha dan isu kelestarian alam sekitar.

“Diharap pengaruh daripada media arus perdana dan komuniti media sosial ini dapat membuka mata orang ramai dan meningkatkan kesedaran  netizen untuk menyebarkan mesej viral di dunia siber, demi kelestarian alam sekitar dan masa depan anak cucu kita,” jelasnya.

Tambahnya, program tersebut baru pertama kali diadakan dan Alam Flora merancang untuk menjadikannya sebagai satu acara tahunan pada tahun mendatang dan akan diadakan di lokasi-lokasi yang berlainan.

SEBAHAGIAN peserta didedahkan dengan aktiviti kitar semula sewaktu program tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad Hafiz Yusoff Bakri, 35, yang merupakan salah seorang peserta Sustainability Hunt 2022 berkata, program yang dilaksanakan oleh Alam Flora itu adalah sesuatu yang menarik kerana menekankan aspek kelestarian.

“Mungkin sebelum ini kita mengambil mudah tentang aspek kelestarian namun sebenarnya ia memberi manfaat yang amat besar tambahan pula dunia kini sedang berhadapan dengan fenomena pemanasan global.

“Melalui program ini, peserta dapat mempelajari tentang amalan-amalan kelestarian yang boleh diamalkan dalam kehidupan harian,” jelasnya.

Di dalam program tersebut, peserta telah diberi pendedahan tentang kepentingan memulihara hutan.

Ini kerana hutan menyimpan sejumlah besar karbon dan apabila pokok ditebang, karbon yang tersimpan akan dibebaskan semula ke atmosfera dan boleh mengundang kepada masalah pemanasan global.

Selain itu, peserta juga didedahkan dengan amalan kelestarian pertanian bandar yang dapat mengurangkan jejak karbon.

Melalui amalan ini, kesemua peserta telah diajar tentang mengitar semula sisa makanan menjadi baja kompos, menggunakan bekas terbuang daripada bahan kitar semula untuk dijadikan tapak semaian sayur-sayuran dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, antara aktiviti lain yang didedahkan kepada peserta di dalam program tersebut termasuk amalan ‘upcycle’ ataupun kitar semula secara kreatif dengan menjadikan produk yang tidak diingini menjadi produk baharu yang mempunyai seni dan nilai.

Ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan pembuangan sisa buangan daripada berakhir di tapak pelupusan sampah.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI