fbpx

3,200 penguat kuasa dan pemantau harga KPDNHEP ‘gempur’ peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMAN Adam (kiri) membuat pemeriksaan bekalan minyak masak di Pasar Raya Econsave, Bandar Jerantut di Jerantut hari ini.

JERANTUT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggerakkan seramai 2,200 penguatkuasa dan 1,000 pegawai pemantau harga bagi menggempur aktiviti menyorok barang sempena Ops Ayam, Telur ayam dan Minyak masak (Ops ATM) di seluruh negara.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, usaha menerusi Ops ATM digerakkan susulan aduan pengguna mengenai aktiviti menyorok barang makanan sehingga menyukarkan pelanggan mendapat bekalan tersebut.

“Aktiviti yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan peniaga berkenaan cuba menaikkan (mencatut) harga dengan cara melewatkan pasaran sehingga menyusahkan pengguna walaupun bekalan mencukupi.

“Kita melancarkan Ops ATM untuk membanteras serta menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dengan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi,” katanya selepas membuat pemeriksaan bekalan dan harga ayam, telur dan minyak masak di Pasar Raya Econsave, Jerantut di sini hari ini.

Azman turut mengetuai seramai 10 orang penguatkuasa pejabat KPDNHEP Pahang mengadakan lawatan dan pemeriksaan mengejut di beberapa buah premis di Kampung Kuala Tahan dekat sini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatan kerja dan pemeriksaan mengejut minyak masak peket beliau berkata bekalan tersebut masih mencukupi dan boleh didapati di semua pasar raya bandar ini termasuk peruncit di Kampung Kuala Tahan.

Sementara itu katanya, sejak Ops ATM dilancarkan pada 13 Jun 2022 sebanyak 463 pemeriksaan telah dilakukan dan operasi akan dilakukan secara berterusan.

“Sejak awal tahun ini sehingga 24 Jun 2022 sebanyak 472,036 premis di seluruh negara telah diperiksa dan dari jumlah tersebut sebanyak 16 peratus, iaitu 75,383 buah premis di kawasan luar bandar.

“KPDNHEP berharap semua peniaga termasuk premis di luar bandar memastikan keberadaan barang keperluan terutamanya ayam, telur ayam dan minyak masak dan tidak mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan secara mencatut di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI