SETIU – Seorang guru yang patah tangan akibat kemalangan pada bulan lalu menerima pampasan berjumlah RM10,225 dari Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).
Wang pampasan kepada Sukri Abdul Rahman, 46, yang juga guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Guntong di sini itu merupakan manfaat skim kemalangan jalan raya dan elaun hospital YGMB.
“Syukur, manfaat ini amat membantu sewaktu saya sedang bercuti sakit selama tiga bulan sehingga Ogos ini.
“Proses tuntutannya mudah tidak memakan masa untuk diproses. Selama ini, saya menjadi ahli YGMB dengan yuran keahlian bulanan RM28,” katanya di sini semalam.
Sukri berkata, dia mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan pergelangan tangan kanannya patah pada 6 Mei lalu.
Tambah bapa kepada empat anak tersebut, kemalangan jalan raya pada 5 Syawal lalu tersebut turut menyebabkan bahu dan lengannya luka.
“Saya telah menjalani pembedahan minor untuk memasukkan besi pada saya dan perlu berehat selama tiga bulan untuk pemulihan,” katanya. – KOSMO! ONLINE