fbpx

Taliban rayu bantuan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang bayi yang cedera dirawat di sebuah hospital di bandar Sharan, kelmarin. – AFP

KABUL –  Pemerintah Taliban merayu bantuan masyarakat  antarabangsa untuk  membantu Afghanistan yang terjejas teruk akibat  gempa bumi kuat yang melanda kelmarin, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).

Lebih 1,000 penduduk dilaporkan terkorban, manakala sekurang-kurangnya 1,500 yang lain  cedera dalam bencana tersebut. Jumlah mangsa tertimbus  di sebalik runtuhan pula  masih tidak dapat dipastikan.

Paktika di tenggara Afghanistan adalah wilayah yang paling teruk terjejas dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bergegas untuk menghantar makanan dan bantuan kecemasan lain.

Usaha menyelamat bagaimanapun menjadi sukar berikutan hujan lebat selain masalah kekurangan sumber dan peralatan. 

Di kawasan pedalaman negara itu, helikopter terpaksa digunakan untuk  membawa mangsa yang cedera ke hospital. Agensi-agensi bantuan  antarabangsa turut mengerahkan pasukan perubatan dan menyediakan bekalan ubat bagi membantu penduduk.

Penduduk yang terselamat dan anggota penyelamat memberitahu BBC bahawa banyak perkampungan dekat pusat gempa musnah sepenuhnya di samping jalan dan menara telefon turut rosak.

Situasi itu menyukarkan proses komunikasi dengan jumlah kematian dijangka  terus meningkat, kata seorang wartawan tempatan kepada BBC.  Gempa itu melanda sekitar 44 kilometer dari bandar Khost, manakala gegaran dapat dirasakan sehingga ke Pakistan dan India.

Pegawai kanan Taliban, Abdul Qahar Balkhi berkata, Afghanistan kini dilanda  krisis kemanusiaan dan ekonomi dengan kerajaan tidak dapat membantu penduduk dari segi kewangan.

“Agensi-agensi bantuan, negara-negara jiran dan kuasa-kuasa besar dunia sememangnya banyak membantu kami, namun bantuan perlu dipertingkatkan kerana ini merupakan gempa bumi kuat yang belum pernah kami alami selama berdekad-dekad,” katanya.

Gempa bumi terkuat dalam tempoh  dua dekad itu merupakan cabaran utama buat Taliban selepas ia mengambil alih tampuk pemerintahan daripada kerajaan terdahulu yang disokong Amerika Syarikat. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI