GUA MUSANG – Kebimbangan isteri terhadap suami yang tidak pulang ke rumah lebih 15 jam terungkai apabila suaminya dijumpai maut dalam keadaan tersangkut di atas pokok kelapa berhampiran rumahnya di Felda Aring 1 di sini semalam.
Rohani Ab. Rahman, 45, berkata, berita sedih kehilangan suami, Zaharuddin Ramli, 47, yang merupakan buruh kampung itu diketahui selepas adik iparnya memaklumkan kejadian itu pada pukul 7.30 pagi semalam.
Katanya, dia tidak menyangka pertemuan terakhir dia dan suami pada pukul 4 petang kelmarin merupakan yang terakhir antara mereka.
“Arwah sempat pulang ke rumah untuk mandi dan makan tengah hari sebelum keluar semula untuk memetik buah kelapa.
“Saya berasa tidak sedap hati kerana suami masih tidak pulang meskipun waktu sudah gelap,” katanya.
Rohani berkata, bimbang dengan keadaan itu, dia bersama enam anaknya berusia antara lima sehingga 30 tahun keluar dan mencari suaminya di sekitar kampung.
Katanya, sehingga pukul 7.30 pagi semalam, adik iparnya memaklumkan arwah tidak sedarkan diri tersangkut pada tali yang digunakan untuk memanjat dan memetik kelapa.
“Dia sempat memetik kira-kira 15 biji kelapa sebelum dia tersangkut atas pokok itu,” katanya.
Tambah Rohani, suaminya itu ada penyakit kencing manis dan sakit jantung sejak beberapa tahun lalu.
Anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk menurunkan jenazah Zaharuddin. -KOSMO! ONLINE