BANGKOK – Kedutaan Diraja Thailand di Jakarta memberi amaran kepada rakyat negara berkenaan supaya tidak membawa masuk bahan ganja ke Indonesia atau mereka bakal berdepan hukuman mati, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Laman Facebook rasmi kedutaan tersebut memuat naik sekeping gambar beserta keterangan bermaksud: “Kedutaan Diraja Thailand di Jakarta memberi amaran kepada penduduk Thai agar tidak membawa masuk ganja, rami atau produk mempunyai kedua-dua bahan terlarang itu ke Indonesia.”
Mereka yang melanggar undang-undang tersebut akan berdepan hukuman denda sekurang-kurangnya 2.4 juta baht (RM298,568), penjara lima tahun, malah hukuman mati.
Pihak kedutaan turut mengingatkan orang ramai agar menolak untuk membawa apa-apa sahaja barangan milik penumpang lain ke Indonesia kerana dikhuatiri terlibat dalam kegiatan penyeludupan ganja.
Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Thailand membenarkan penduduknya menanam pokok ganja di rumah serta digunakan bagi tujuan perubatan.
Perkembangan itu menyaksikan lebih banyak produk mengandungi ganja dilancarkan dan dijual di kedai-kedai serbaneka secara terbuka.
Keadaan itu membuatkan kerajaan Thailand bimbang sekiranya terdapat individu menyeludup pokok atau produk ganja ke negara-negara jirannya.
Pada Isnin lalu, seorang pelancong dari Malaysia dikenakan hukuman denda 80,000 baht (RM9,952) kerana didapati cuba membawa masuk air minuman yang mengandungi bahan ganja ke Malaysia. – Agensi