SUNGAI PETANI – Seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes menerima rasuah sebanyak RM2,750 pada semalam.
Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan dalam satu kes perangkap kira-kira pukul 4.20 petang.
Dia kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Majistret B. Sri Pracha Nanthini mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari kepada suspek.
Menurut sumber, suspek didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM2,750 daripada seorang individu bagi mendapatkan kembali barang kemasnya yang menjadi barang kes polis.
Katanya, barangan tersebut telah mendapat arahan mahkamah untuk diserahkan kembali kepada pengadu.
“Seorang lelaki berusia 66 tahun yang merupakan pemilik sebuah kedai pajak di Sungai Petani yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut turut ditahan pada pukul 1.25 tengah hari tadi untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE