TIMBALAN Chef de Mission (DCDM), Monteiro Gerard kecewa terhadap keputusan jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022.
Menurutnya, keputusan mengejut itu secara tidak langsung boleh menjejaskan sasaran kontinjen negara pada temasya yang akan berlangsung di Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
Bagi Gerard, skuad badminton sentiasa konsisten menjadi penyumbang pingat terutama emas dalam setiap penganjuran Sukan Komanwel sejak edisi 1986 di Edinburgh, Scotland.
“Apa yang saya boleh katakan ialah saya kecewa dengan keputusannya. Sukan Komanwel adalah sukan berpasukan dan sudah tentu mengharapkan dia (Zii Jia) membawa pulang pingat buat Malaysia.
“Kejohanan Dunia semakin hampir tetapi ada dua minggu jaraknya, jadi kami sedikit kecewa kerana dia memilih untuk mengambil jalan ini.
“Kami perlu melihat semula sasaran pingat emas. Saya fikir akan ada pemain lain yang menonjol dan menjadi wira,” katanya sewaktu melawat persiapan kem badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara semalam.
Edisi Edinburgh 1986 adalah satu-satunya dalam 14 penganjuran menyaksikan Malaysia gagal menaiki podium acara badminton sejak mula dipertandingkan di Kingston, Jamaica pada 1966.
Edisi terakhir di Gold Coast, Australia pada 2018 menyaksikan kem badminton negara meraih dua emas melalui Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo selain turut memenangi satu perak serta dua gangsa.