MOSCOW – Pelumba sensasi Rusia, Nikita Mazepin mahu mengheret pasukan Haas ke mahkamah gara-gara dipecat pasukan Amerika Syarikat (AS) tersebut hingga menyebabkan karier perlumbaan Formula Satu (F1) musnah.
Mazepin mendedahkan bahawa Haas masih berhutang dengannya sejurus menamatkan kontraknya lebih awal berikutan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine pada Mac lalu.
Sebelum memecat Mazepin, Haas telah membuat keputusan lebih awal mengakhiri kerjasama mereka bersama penaja utama dari Rusia, Uralkali yang diusahakan ayah Mazepin, Dmitry.
Disebabkan konflik tersebut, Haas membawa masuk Kevin Magnussen dan bergandingan bersama Mick Schumacher, namun pemecatan tersebut tidak berakhir baik apabila Haas didakwa masih belum menyelesaikan gaji Mazepin.
“Ketika Haas membuat keputusan untuk membatalkan kontrak, mereka masih belum membayar gaji saya untuk tahun ini dan belum menyelesaikannya hingga saat ini.
“Bagi saya, pasukan tersebut harus membayar pampasan atas tindakan yang mereka lakukan,” kata Mazepin yang menjadi mangsa tekanan antarabangsa akibat peperangan tersebut.
Bagaimanapun, Mazepin mengakui impiannya untuk kembali beraksi ke perlumbaan F1 tidak pernah pudar dan berharap mampu kembali semula ke saingan tersebut.
“Saya terlibat dalam sukan permotoran dalam tempoh 18 tahun dan tiada niat untuk meninggalkan perlumbaan ini. Saya kekal cergas dan berharap dapat kembali semua ke F1,” kata pelumba berusia 23 tahun tersebut. – AGENSI