fbpx

Kosmo, Utusan menang 4 Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rashid (dua kiri), Amir (tengah), Mohamad Rizal (dua kanan) dan Mohamad Athir (kanan) bergambar kenangan bersama Pengarang Kumpulan Media Mulia selepas memenangi Hadiah Kewartawanan Malaysia 2021 di Hotel Shangri-La hari ini. FOTO - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Akhbar Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. iaitu Kosmo! dan Utusan Malaysia berjaya merangkul empat kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2021 di Hotel Shangri-La di sini hari ini.

Ketua Kreatif Media Mulia, Mohamad Rizal Mohamed Nor menjuarai Kategori Desain Halaman Pertama Terbaik menerusi laporan bertajuk ‘Percepat pemulihan ekonomi’, ‘Pakej bantuan kelapan’ dan ‘Sekolah di Lembah Klang sesak’.

Selain itu, jurufoto Utusan Malaysia, Amir Khalid turut memenangi emas bagi Kategori Kewartawanan Foto Cemerlang menerusi laporan bertajuk ‘Mengenang Nasib’.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 beserta trofi dan sijil.

Bagi Kategori Laporan Berita Cemerlang, wartawan Kosmo! Abdul Rashid Abdul Rahman pula memenangi perak menerusi laporan ‘Perkampungan emas’, ‘Mukim Kechau dalam Jajaran Emas’, ‘Tanah emas’ tidak akan dirampas’, ‘Perangkap tauke emas’ dan ‘Malaysia kaya dengan emas’.

Seterusnya, wartawan Utusan Malaysia, Mohamad Athir Ismail turut memenangi gangsa bagi Kategori Kewartawan Alam Sekitar Cemerlang menerusi laporan bertajuk ‘Haiwan, tumbuhan diancam kepupusan’, ‘Kali kedua ‘kena main’ dan ‘Orang Asli dakwa diugut tidak warta tanah adat’.

Kesemua anugerah berkenaan disampaikan oleh penerima Hadiah Kajai terdahulu yang telah dipilih bagi memberi kelainan pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2022.

Bagaimanapun, tiada anugerah Kajai diberikan pada tahun ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.

Chamil berkata, MPI berbangga pada tahun ini apabila HKM 2021 mencatatkan peningkatan 35 peratus bersamaan 350 penyertaan berbanding 2020 sekali gus menunjukkan kesediaan pengamal media untuk berdaya saing secara sihat.

“Dengan kata lain, tersirat di balik MWM 2022 adalah peranan bagi mengiktiraf karya cemerlang yang dihasilkan oleh para wartawan setiap tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI