SHAH ALAM – Satu kejadian kluster Influenza-Like-lllness (ILI) dikesan melibatkan sebuah sekolah berasrama penuh di sekitar daerah Petaling, Selasa lalu.
Kluster itu dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi 110 pelajar bergejala demam, batuk, selesema dan sakit tekak .
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, kes pertama sudah dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun lalu.
Katanya, seramai 191 pelajar mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan dengan kadar serangan jangkitan 32.5 peratus setakat ini.
“Daripada jumlah itu, lima pelajar disahkan positif Influenza A manakala 13 sampel masih menunggu keputusan.
“Terdapat satu kes berada di hospital untuk pemantauan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Sha’ari, penutupan sementara asrama sekolah itu dijalankan bagi disinfeksi dan mengawal penularan jangkitan.
“Asrama itu akan dibuka semula selepas penilaian risiko ulangan dijalankan oleh PKD Petaling.
“Selain itu, langkah kawalan dan pencegahan lain diambil bagi memantau kes yang menjalani pengasingan atau memerlukan rawatan lanjut ke hospital,” ujarnya.
Tambah beliau, hasil pemantauan JKNS mendapati jangkitan ILI di Selangor masih dalam keadaan terkawal.
“Namun, penularan jangkitan di institusi pendidikan terutama sekolah berasrama menunjukkan sedikit peningkatan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
“Ia antaranya berpunca kurang penekanan kepada aktiviti ‘gate keeping’ di sekolah dan amalan kebersihan kendiri,” katanya. -KOSMO! ONLINE.