KUALA LUMPUR – Hasrat Kuala Lumpur City untuk membuka saingan Kumpulan H Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan kemenangan musnah apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan kelab Indonesia, PSM Makassar di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Walaupun lebih memiliki peluang terbaik, aspek penyudah pasti menghadirkan kerisauan buat pengendali KL City, Bojan Hodak selepas mempersiakan banyak peluang.
Menjelang aksi kedua bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers, KL City pastinya menagih sorakan penyokong sendiri ketika perlawanan pertama sebentar tadi hanya dihadiri 1,259 orang penonton sedangkan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur memiliki kapasiti 18, 000.
Terdahulu, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan aksi seimbang dan minit ke-21, KL City menerusi kaptennya, Paulo Josue hampir meletakkan tuan rumah di depan sebaliknya rembatan dari luar kotak penalti berjaya dibaca tepat oleh penjaga gol lawan, Muhammad Reza Pratama.
Seterusnya, KL City dilihat lebih selesa melancarkan serangan dengan Romel Morales, Kamal Azizi, Kevin Koubemba dan Josue terus mempersiakan peluang sekaligus memaksa 45 minit pertama tanpa jaringan.
Minit ke-43, Yakob Sayuri berjaya mencemaskan penyokong tuan rumah apabila lencongan yang dilakukannya hampir menyumbangkan jaringan tetapi percubaan itu sekadar singgah di palang gol.
Nasib malang terus menghimpit tuan rumah di babak kedua dengan menyaksikan dua percubaan menerusi Morales pada minit ke-58 dan tandukan Irfan Zakaria sekadar singgah di palang serta tiang gol. – KOSMO! ONLINE