fbpx

Kesan buruk ganja kepada otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengambilan ganja boleh menyebabkan perkemba­ngan otak terbantut, selain mengganggu proses membuat keputusan. – Gambar hiasan

MUTAKHIR ini, penggunaan marijuana atau lebih dikenali sebagai ganja dalam konteks perubatan semakin hangat diperkatakan di Malaysia.

Malah, di luar negara, beberapa kerajaan sudah membenarkan ganja digunakan secara meluas, bukan sahaja dalam konteks perubatan, tetapi juga sebagai penggunaan rekreasi.

Majoriti pengguna marijuana ini me­rupakan golongan remaja dan dewasa. Hasil tinjauan yang dilakukan di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan, pengguna ganja secara rekreasi tidak mengetahui impaknya terhadap kesihatan perkembangan otak.

Secara saintifiknya, masih terlalu ba­nyak kesan sampingan ganja terhadap badan kita yang masih ramai tidak me­ngetahuinya.

Di sini saya akan merungkai mengenai kesan sampingan pengambilan ganja terhadap kesihatan otak.

Ganja mempunyai lebih daripada 500 bahan kimia di dalamnya, termasuk delta-9 tetrahydrocannabinol (THC) yang merupakan bahan psikoaktif yang dapat mengubah cara kita berfikir.

Ia juga mempunyai cannabidiol (CBD) yang dikatakan dapat mengurangkan keradangan dan mempunyai kesan tahan sakit.

Kadar kepekatan THC di dalam ganja menentukan betapa tinggi kesan high atau lalok terhadap pengguna.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan di AS melalui Key Findings on Adolescent Drug Use 2017, pengguna ganja adalah seawal usia 13 hingga 14 tahun dan 5.9 peratus terdiri daripadanya pelajar sekolah menengah.

Bukan itu sahaja, majoriti pengguna dadah berkenaan adalah daripada golo­ngan yang sihat tanpa mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Otak kita berkembang sehingga pada umur 25 tahun dan pada umur ini, perkembangannya lebih menjurus kepada bahagian yang membuat keputusan, pemikiran kritis dan pembelajaran.

Kajian menunjukkan, apabila ganja diambil, THC dan bahan kimia lain akan menyerap ke dalam darah dan akan melekat kepada receptor cannabinoid yang ada di bahagian otak.

Apabila bahan kimia itu berada di bahagian otak, ia akan mengganggu pengguna ganja untuk belajar, menghafal, bergerak secara normal dan mengganggu mereka untuk membuat keputusan.

Bukan itu sahaja, ganja boleh membuat seseorang untuk mendapat halusinasi, paranoid dan pelbagai kecelaruan emosi.

MASIH tiada kajian terperinci menunjukkan ganja adalah selamat untuk digunakan sebagai rawatan alternatif atau sebagai rekreasi. – Gambar hiasan

Bukan semua remaja yang menggunakan ganja akan mendapat ketagihan. Ini kerana, setiap orang mempunyai reaksi yang berbeza terhadap ganja.

Kesan ganja terhadap individu bergantung kepada kepekatan kandu­ngan THC, sejarah keluarga mempunyai masalah ketagihan, ketagihan terhadap alkohol dan ubatan terlarang serta sejarah penyakit mental.

Golongan yang disebut ini, mempu­nyai risiko mendapat masalah ketagihan terhadap ganja.

Memandangkan salah satu cara pengambilan ganja adalah melalui hisapan rokok yang mengandungi bahan tersebut, kesan sampingan terhadap kesihatan adalah hampir sama seperti mereka yang merokok.

Antara kesan sampingan adalah kerosakan paru-paru, kanser, penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan strok.

Bagi ibu hamil, ganja boleh menyebabkan komplikasi semasa me­ngandung seperti kandungan yang mempunyai berat badan yang tidak optimal.

Secara kumulatifnya, masih tiada ka­jian terperinci menunjukkan ganja adalah selamat untuk digunakan sebagai rawatan alternatif atau sebagai rekreasi.

Ada kajian menunjukkan, ganja dapat mengurangkan episod sawan untuk pesakit epilepsi.

Bagaimanapun, kajian tersebut tidak mempunyai data yang bagus untuk dijadikan rujukan.

Justeru, pakar neurologi tidak akan membenarkan pesakit epilepsi mereka untuk mengambil ganja sebagai rawatan alternatif.

Malaysia tidak seharusnya membenarkan penggunaan ganja kerana se­perti yang saya katakan sebelum ini, apabila ia dibenarkan, bukan pesakit yang akan menggunakannya.

Sebaliknya, remaja sihat yang mana masih dalam proses perkembangan otak yang akan mengambilnya.
Ini akan menyebabkan perkemba­ngan otak mereka terbantut.

Bagi penggunaaan ganja untuk pe­nyakit mental seperti kemurungan, ­anxiety atau bipolar, ia terbukti me­nunjukkan ganja tidak memberi kesan positif.
Ia malahan akan membuat pesakit menjadi lebih teruk daripada sebelum­nya.

Mungkin ada dalam kalangan kita menganggap, dengan membenarkan penggunaan ganja dapat menjana ekonomi negara seperti kita lihat betapa tinggi keuntungan penjualan bahan itu di luar negara.

Tetapi kita harus fikir mengenai kesan sampingan ganja terhadap rakyat secara keseluruhan.

Tidak ada gunanya jika ekonomi me­ningkat, tetapi rakyat mempunyai masalah ketagihan, penyakit mental atau penyakit kesihatan yang disebabkan oleh penggunaan ganja.

Apa yang perlu diterapkan terhadap rakyat adalah bagaimana untuk menuju ke arah Malaysia yang lebih sihat.

Rakyat yang sihat mempunyai kesihatan mental yang baik.

DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI