fbpx

Kadar elaun warden di sekolah berasrama dinaikkan – Radzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video pengumuman kenaikan kadar elaun warden sekolah berasrama oleh Radzi hari ini.

PUTRAJAYA – Jumlah elaun warden asrama di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dinaikkan sebanyak 25 peratus berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran video di laman Facebook, hari ini.

Radzi berkata, kenaikan itu menjadikan kadar baharu bagi Ketua Warden Asrama adalah RM350 sebulan manakala Warden Asrama pula adalah RM300 sebulan.

“Untuk makluman, kali terakhir kadar elaun warden asrama disemak adalah pada tahun 1997,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya juga turut memutuskan untuk menambah seramai 3,813 orang warden asrama di 1,874 buah sekolah berasrama di bawah KPM di seluruh negara berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Katanya, tambahan itu membabitkan peningkatan sebanyak 63 peratus warden asrama daripada 6,055 orang warden ketika ini kepada 9,868 orang warden.

Radzi berkata, peningkatan jumlah warden asrama itu membolehkan penggiliran jadual bertugas warden dilaksanakan di semua sekolah berasrama bawah KPM.

Jelasnya lagi, tambahan jumlah warden dan kenaikan kadar elaun warden itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM19 juta.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) di atas dua penambahbaikan ini,” katanya.

Katanya, KPM sentiasa berusaha menambah baik porfolio keperluan warden asrama di 1,874 sekolah berasrama di bawah KPM. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI