PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan hujan lebat serta ribut petir dan angin kencang sedang tertumpu di beberapa kawasan melibatkan enam negeri yang dijangka berlarutan sehingga lewat tengah hari nanti.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook sebentar tadi memaklumkan, antara kawasan terlibat adalah Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Batang Padang di Perak.
Selain itu, hujan lebat juga sedang melanda Tanah Tinggi Cameron, Pahang serta dua daerah di Selangor iaitu Kuala Langat dan Sepang.
“Cuaca buruk sama berpotensi melanda keseluruhan WIlayah Persekutuan Putrajaya dalam tempoh tersebut.
“Bagi Negeri Sembilan pula, hujan lebat serta ribut petir dilaporkan berlaku di Seremban dan Port Dickson,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, di Sarawak, antara daerah yang terkesan dengan cuaca buruk sama adalah Miri (Subis dan Miri).
Terbaharu, beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor turut dinaiki air sehingga paras lutut akibat hujan lebat berterusan pada awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE.