fbpx

Ibu DJ Lin meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJ Lin berkongsi berita pemergian ibunya menerusi Instagram.

PETALING JAYA – Ibu penyampai radio popular DJ Lin, Puteh Jantan, 80, disahkan meninggal dunia pada pukul 4.50 pagi tadi akibat kegagalan buah pinggang.

Berita sedih tersebut diumumkan sendiri DJ Lin atau nama lengkapnya Roslinda Abd. Majid, 47, menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.

“Salam Jumaat semua, dengan lafaz bismillah, saya ingin memaklumkan bahawa Ibunda saya yang tercinta, Puan Hajah Puteh Jantan baru sahaja meninggal dunia pada pukul 4.50 pagi ini (Jumaat, 24 Jun 2022) di rumah kami di Jalan Merpati, Larkin Jaya, Johor Bahru, Johor.

“Mohon semua sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarhamah. Moga Rohnya tenang di alam sana dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

“Mak, terima kasih di atas segala kasih sayang, pengorbanan serta jasa yang mak taburkan buat orang (dirinya) dan semua anak anak mak,” tulis penyampai radio Suria FM itu.

Pada masa sama, pemenang kategori Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-34 itu turut menulis agar ibunya ‘berehat’ dengan tenang di alam sana.

“Puas mak menanggung kesakitan. Kami semua dah berusaha yang terbaik untuk membantu menyembuhkan sakit mak.

“Namun Allah lebih menyayangimu mak. Mak akan sentiasa ada di hati kami dan kenangan kita bersama tak akan pernah sekali pun orang lupakan ya mak. Al-Fatihah,” tulisnya.

Sewaktu menghembuskan nafas terakhir, DJ Lin sebenarnya dalam perjalanan hendak kembali menyambung tugas di Kuala Lumpur. Sejak dua minggu Puteh dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Allahyarham mengalami masalah buah pinggang sejak lima tahun lalu dan menjalani rawatan dialisis.

Difahamkan jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sri Danga, Johor Bahru sebelum solat Jumaat hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI