PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam di pasaran dan akan mengumumkan harga siling baharu bahan mentah tersebut dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga siling baharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
“Kerajaan turut memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung serta komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.
“Sehubungan itu, kadar tariff elektrik dan air kekal seperti sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keputusan tersebut sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup. – KOSMO! ONLINE