fbpx

Emeer Bakri mahu jadi artis versatil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMEER BAKRI

PERNAH menyertai beberapa pertandingan realiti televisyen dan diangkat sebagai juara, karier penyanyi baharu Emeer Bakri sebenarnya sudah lama bertapak.

Cuma, disebabkan tidak meraih peluang sewajarnya, bakat Emeer seakan-akan dipandang sepi sehingga kelibatnya tenggelam dalam arus industri.

Tidak pernah berputus asa apatah lagi terfikir meninggalkan dunia seni yang dicintainya, pemuda berusia 27 tahun itu kembali membina semangat dengan percaturan baharu.

Selepas menjadi naib juara pencarian bakat The Audition anjuran syarikat Armani Entertainment Group (AEG), Emeer kembali memanaskan enjin kariernya menerusi peluncuran single baharu.

Dicipta oleh Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeves, lagu berjudul Fantasia menjadi penanda aras buat Emeer kembali memahat namanya dalam industri selepas sekian lama menyepi.

EMEER menjadikan lagu Fantasia sebagai titik ‘mula’ kemunculan semulanya dalam industri selepas lama menyepi.

“Saya nekad berhijrah ke ibu kota demi mengejar cita-cita dalam bidang muzik. Kelahiran single Fantasia, seakan-akan memberi peluang kedua buat saya menyerlahkan kembali bakat yang dimiliki.

“Lagu ini mampu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam menyampaikan sesebuah karya,” ujarnya yang juga merupakan penerbit muzik di AEG dan bertanggungjawab menghasilkan pelbagai kandungan berkaitan muzik.

Serba boleh

Sedikit latar belakang tentang Emeer, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu mula menyanyi sejak berusia 10 tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan karaoke di negeri kelahirannya.

Kemudian pada 2007 ketika berusia 12 tahun, dia berjaya meloloskan diri sebagai finalis dalam program realiti terbitan TV3, Mystarz LG musim pertama.

Dia menjadi satu-satunya peserta termuda ketika itu.

Dua tahun kemudian iaitu ketika berusia 14 tahun, karier Emeer semakin berkembang selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian, Oo La La siaran TV9 pada 2009.

EMEER menetapkan misi mahu dikenali sebagai penyanyi serba boleh dan memiliki signatur gaya nyanyian tersendiri.

Kini ketika berusia 27 tahun, dia meneruskan langkah dalam industri dengan misi yang lebih jelas iaitu untuk menjadi seorang artis yang serba boleh.

“Saya ingin dikenali sebagai seorang artis yang bukan sahaja berkebolehan dalam nyanyian, bahkan mampu menghasilkan karya sendiri dan mempunyai perwatakan atau sikap yang baik.

“Bagi saya, keistimewaan seseorang penyanyi itu terletak pada cara nyanyian yang menjadi signatur dirinya. Apabila mendengar sesebuah nyanyian, sudah tahu siapa penyanyinya,” ujar Emeer yang tidak menolak untuk bereksperimentasi dengan genre lain selepas ini.

Pencapaian terbesar Emeer selepas kembali aktif dalam industri apabila single Fantasia terpilih menjadi runut bunyi rasmi drama Setelah Terlafaznya Akad 2 siaran Astro Ria bermula 1 Jun lalu.

Lagu Fantasia juga dinikmati menerusi pelbagai platform penstriman seperti JOOX, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI