fbpx

Dolla, Free Fire bersedia untuk Fight

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEDIA beraksi, Dolla menyifatkan kerjasama dengan komuniti Free Fire sebagai pengalaman baharu yang sangat mengujakan.

DALAM tempoh paling genting abad ini, siapalah yang menyangka bahawa jangka waktu tersebut mampu melahirkan bintang paling berjaya di Malaysia dalam bentuk kumpulan bernama Dolla!

Ya, sewaktu Mac 2020 yang sangat mencabar, kumpulan penyanyi wanita tempatan, Dolla tiba-tiba muncul melawan arus dan melancarkan lagu hit pertama, Dolla Make You Wanna, sehingga terus mencuri perhatian peminat muzik tempatan.

Dalam tempoh dua tahun pandemik yang penuh halangan, kumpulan empat wanita cantik mencipta pelbagai kenangan manis dan kejayaan dalam kerjaya seni mereka.

Dengan enam buah lagu hit termasuk satu daripadanya lagu raya popular berjudul Raya Raya Raya, semua itu menunjukkan seolah-olah tiada apa yang mampu mengekang Dolla berbakat ini daripada meraih kejayaan.

Sempat mencuba nasib sebagai pelakon dan berkesempatan memenangi beberapa anugerah besar, Dolla juga mencipta sejarah selepas menjadi kumpulan nyanyian wanita pertama Malaysia yang menghiasi papan iklan digital tersohor di bandar raya New York selepas beberapa bintang Malaysia lain seperti Yuna dan Layla Sania.

Masa untuk Fight

Mahu melebarkan sayap lebih jauh, kuartet itu bakal meninggalkan impak dalam industri permainan dalam talian melalui kolaborasi bersama permainan mudah alih Garena untuk kempen Free Fire Untuk Semua.

Kerjasama Dolla bersama permainan berbentuk aksi perlawanan tersohor tersebut juga berpaksi pada sebuah lagu yang dicipta khas berjudul Fight.

Kempen induknya, Free Fire Untuk Semua, bertujuan membawa para pemain bersama Free Fire mewakili ikatan yang mereka kongsi.

Kerjasama tersebut melambangkan usaha berterusan Garena untuk mewujudkan kandungan berunsur tempatan buat komuniti Free Fire di Malaysia.

Bahagian terbaharu kempen memberi fokus kepada pemerkasaan aneka budaya melalui Free Fire, sejajar dengan kempen Free Fire Untuk Semua Budaya (Free Fire For All Cultures).

DOLLA kini muncul dengan sebuah lagu berjudul Fight yang menjadi pemanas kempen permainan dalam talian, Free Fire Untuk Semua.

Ini dibuktikan lewat kolaborasi bersama Dolla yang terdiri daripada Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya yang membariskan ahli kumpulan dengan latar belakang budaya yang berlainan.

Fight menggabungkan beberapa bahasa dan unsur tradisional untuk menekankan tema budaya.

Lagu berkenaan turut menampilkan beberapa kata kunci penting daripada acara tahunan Free Fire yang berjudul Rampage, yang akan berjalan serentak bersama kempen Free Fire Untuk Semua Budaya.

Mewakili Dolla, Tabby menyifatkan penggambaran video untuk Free Fire sebagai satu pengalaman luar biasa.

“Itulah pertama kali kami terpaksa berlatih untuk gerakan lagak ngeri bersama kesan visual khas. Pengarah kami memang hebat,” ujar Tabby.

Tambah Sabronzo pula, Dolla sangat bersyukur dan berterima kasih kepada para pelagak ngeri terbabit dalam video berkenaan kerana sudi mengajar mereka berlawan dan menggunakan senjata.

“Terima kasih kerana sentiasa menjaga kami dan memastikan tiada kecederaan yang serius terjadi.

“Saya memang menantikan kerjasama ini dan tidak sabar untuk melihat peminat kami menyertainya,” ujar Sabronzo.

Sungguh pun begitu, penggambaran video berkenaan tetap ada cabarannya tersendiri.

“Kami tak pernah buat aksi lagak ngeri atau sebarang bentuk gerak lawan sebenar.

“Jadi pengalaman ini sesuatu yang baharu. Apabila terpaksa membayangkan suasana dengan kesan visual, itu satu cabaran juga,” jelas Syasya.

Angel pula percaya, penentu kejayaan sesebuah projek terletak pada kerjasama semua pihak.

Untuk informasi, gelombang acara Free Fire Untuk Semua berlangsung sejak 13 hingga 30 Jun ini.

Sebagai pelengkap, lagu kolaborasi berjudul Fight juga diserikan dengan sebuah video muzik rasmi yang boleh dilayari menerusi penstriman digital serta laman Facebook, Instagram, dan YouTube Free Fire.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI