GUA MUSANG – Polis mengesahkan kematian membabitkan seorang buruh kampung yang tersangkut di atas pokok kelapa di Felda Aring 1 di sini semalam disebabkan serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa, Zaharuddin Ramli, 49, dipercayai tergelincir dan badannya tergantung pada pokok itu semasa memetik buah kelapa.
Katanya, anggota bomba telah berjaya menurunkan mangsa sebelum mendapati muka lelaki itu sudah biru dan disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat di Hospital Gua Musang di sini semalam mendapati kematian mangsa disebabkan masalah saluran jantungnya tersumbat. Berdasarkan siasatan, kematian lelaki itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Choon Foo berkata, jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Aring 1 di sini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Kosmo! hari ini melaporkan, kebimbangan isteri terhadap suami yang tidak pulang ke rumah lebih 15 jam terungkai apabila suaminya dijumpai maut dalam keadaan tersangkut di atas pokok kelapa setinggi 12 meter berhampiran rumahnya di Felda Aring 1 di sini semalam.
Rohani Ab. Rahman, 45, berkata, berita sedih kehilangan suaminya yang merupakan buruh kampung itu diketahui selepas adik iparnya memaklumkan kejadian itu pada pukul 7.30 pagi semalam.
Katanya, dia tidak menyangka pertemuan terakhir dia dan suami pada pukul 4 petang kelmarin merupakan yang terakhir antara mereka. – KOSMO! ONLINE.