KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru golongan belia termasuk graduan untuk merebut peluang mencari pekerjaan di BN Youth Job Fair 2022 (BNYJF’22) yang dianjurkan bermula hari ini hingga Ahad di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Beliau berkata, masih terdapat peningkatan yang membimbangkan tentang pekerjaan khususnya dalam kalangan graduan muda dan peningkatan tempoh pengangguran dalam kalangan graduan terlatih.
“Perkara ini digabungkan lalu mewujudkan sebuah kitaran ganas yang menyebabkan kapasiti penyerapan buruh dalam ekonomi yang berleluasa pada masa kini.
“Oleh itu, adalah penting bagi semua graduan muda dan profesional untuk mempunyai pengetahuan dan kepakaran untuk mendapatkan jawatan dalam sesebuah organisasi,” katanya ketika merasmikan BNYJF’22 di sini hari ini.
Beliau berkata, selain menawarkan lebih 200,000 peluang pekerjaan daripada lebih 300 majikan, karnival itu turut menyediakan pelbagai aktiviti dalam usaha membantu golongan pencari kerja.
“Ekspo ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Barisan Nasional dalam mengatasi masalah pengangguran di negara.
“Saya juga percaya bahawa karnival ini bukan sahaja untuk membantu para belia, ia juga sudah semestinya akan dapat membantu ekonomi negara. Saya yakin ekonomi negara dapat diperkukuhkan lagi setanding dengan ekonomi di negara-negara lain,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE