fbpx

Aznil kutip lebih RM100,000 untuk bantu Zamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZNIL NAWAWI berkongsi jumlah kutipan yang akan disumbangkan demi biaya perubatan Zamani Slam.

PETALING JAYA – Tidak sampai 10 jam melancarkan inisiatif peribadi bagi membantu membiayai kos pembedahan penyanyi Zamani Slam, personaliti televisyen popular Datuk Aznil Nawawi berjaya mengumpul lebih RM100,000 hasil sumbangan daripada orang ramai.

Inisiatif murni tersebut dilakukan Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil dalam usaha membantu Zamani sembuh daripada derita penyakit tulang belakang atau skoliosis yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

“Tabung bantuan untuk Zamani dah Pak Nil tutup ya. Itu adalah jumlah penuh yang dapat dikutip.

“Memang di luar jangkaan dan memang ramai sayangkan Zamani. Semoga Allah balas kebaikan kamu semua dengan rezeki yang berlipat kali ganda. Semoga dengan bantuan ini, Zamani dapat disembuhkan. Aminn,” tulisnya menerusi InstaStory terbaharu yang dimuat naik.

Semalam, Aznil menerusi Instagram dan Facebooknya memuat naik rakaman perbualannya dengan pelantun lagu hit Gerimis Mengundang itu sebagai bukti pertolongannya.

Menerusi perbualan tersebut, Aznil  bertanya khabar perkembangan terbaharu kesihatan Zamani dan meminta maaf kerana membuat kutipan tanpa pengetahuan penyanyi itu.

“Minta maaf Pak Nil buat kutipan untuk Zamani tak cakap dengan Zamani sebab Pak Nil tahu Zamani kata tak nak meminta-minta.

“Tapi Pak Nil kata tak apa biar Pak Nil yang buat. Zamani nak buat ‘show’ banyak-banyak, Pak Nil rasa keadaan Zamani nanti lagi memudaratkan,” katanya.

Sebelumnya, Aznil terlebih dahulu mengosongkan akaunnya dan memaklumkan kepada pihak bank yang dia akan menerima dana daripada orang ramai kerana bimbang bank membekukan akaunnya apabila menerima kemasukan wang yang banyak dalam satu masa.

Dalam pada itu, Zamani dalam nada terharu berterima kasih kepada Aznil kerana sudi membantu, termasuk menyatakan keengganannya menerima wang tersebut. Zamani turut meminta Aznil menyimpan wang tersebut sehingga tiba waktu pembedahan dijalankan.

Pak Nil bagaimanapun meminta Zamani mengambilnya untuk kegunaan rawatan kerana tidak mahu Zamani risau dan tertekan kerana boleh memudaratkan kesihatannya.

Terdahulu, pengurus Zamani iaitu Aalan Ahmad meminta pihak yang mahu mewujudkan tabung dana untuk Zamani agar tidak berbuat demikian kerana penyanyi itu masih di peringkat awal rawatan.

Dia juga bimbang serta tidak mahu wujudnya scammer (penipuan) yang mengambil kesempatan dengan membuka akaun palsu atas nama Zamani. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI